menjadi muslimah mukminah yang sejati

>> Monday, June 21, 2010

Seringkali kita mendengarkan tentang kisah-kisah srikandi Islam yang gagah berani seperti Siti Fatimah, Khadijah r.a., Khaulah Al-Azwar, Nusaibah serta ramai lagi muslimah-muslimah tauladan. Ramai yang mengatakan bahawa tidak mungkin kita akan mencapai tahap srikandi-srikandi mulia tersebut. Namun sedarkah kita, penilaian terhadap perjuangan seseorang itu hanyalah Allah s.w.t. yang berkuasa menentukan.

Keikhlasan dan kesediaan kita untuk menyerahkan diri sepenuhnya pada jalan perjuangan Islam ini adalah tunjang utama untuk menjadi mujahidah sejati. Namun syarat yang paling utama ialah keutuhan aqidah yang akan mendorong kita untuk thabat dalam membantu agama Allah s.w.t.

Ingatlah, dahulu kaum wanita menjadi bahan hinaan kaum-kaum jahiliyah terdahulu bahkan dianggap lebih hina dari binatang. Namun, cahaya Islam merubah segalanya. Kaum wanita diangkat martabatnya dan diberi hak yang sewajarnya. Islam memuliakan wanita sehingga terdapat surah An-Nisa’ yang bermakna ‘wanita-wanita’ yang banyak menyentuh tentang hal ehwal wanita. Di sini, saya ingin menyentuh beberapa skop muslimah sebagai pejuang agama secara ringkas.

Berjuang Sebagai Puteri

Jika menyentuh tentang perkara ini, pasti kita tidak lari dari memikirkan tentang puteri-puteri Rasulullah seperti Zainab, Ruqaiyyah, Ummu Kaltsum dan Fatimah. Namun, sejarah lebih ‘menghighlightkan’ Fatimah dari segi seorang anak kerana rapatnya beliau dengan Rasulullah. Fatimah lah yang membersihkan belakang Rasulullah apabila diletakkan najis oleh kaum musyrikin bahkan beliaulah yang memangku baginda Rasul di saat menjelang kewafatan baginda. Bagaimana pula dengan kita?

Secara umumnya, wajib ke atas anak itu membantu kedua ibu-bapanya serta berusaha tidak membebankan mereka dari segala segi. Jika sahabat-sahabat memiliki bapa atau ibu atau kedua-duanya yang beriltizam sepenuhnya dengan jamaah, maka hendaklah memahami mereka terutama pada saat-saat kesulitan seperti kesuntukan waktu atau harta. Bahkan, perlu bersiap-sedia menghadapi kemungkinan yang lebih dari itu kerana jalan perjuangan itu penuh mehnah dan tribulasi.

Bagi mereka yang memiliki ibu bapa yang neutral atau pun menentang, hendaklah berusaha memahamkan mereka tentang Islam secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan mereka akan memahami kita jika tidak menjaga adab dan tanggungjawab sebagai anak sebagaimana sepatutnya. Tidak perlulah diceritakan tentang penglibatan kita dalam jamaah kerana mereka pastinya akan bimbang lantas melarang kita menyertai perjuangan ini lantaran ketidakfahaman. Tetapi cukuplah kita berusaha menjadi anak yang soleh dan tidak menyakitkan hati mereka walaupun pemikiran dan pemahaman adalah bertentangan. Ingat, sehebat mana seorang anak itu, redha ibu bapa lah yang akan memandu kita kepada redha Allah.

Berjuang Sebagai Isteri

Walaupun kalian belum berkahwin, tetapi hendaklah mengambil kisah akan hal ini kerana ia adalah masa depan dunia dan akhirat. Pertamanya amatlah dituntut kepada para mujahidah memilih para mujahid yang beriltizam dengan perjuangan Islam. Walaupun kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan, namun ciri-ciri itu sudah dapat dilihat pada usia seorang pemuda. Perkara ini penting bagi melahirkan baitul muslim yang akan melahirkan masyarakat muslim yang akan mendokong ke arah tertegaknya Islam di bumi ini.

Hendaklah kalian menjadi sayap kiri perjuangan suami dan memahami bahawa perjuangan ini menuntut pengorbanan dan pastinya tidak dimanjai dengan harta dunia. Bersiap-sedialah untuk meletakkan Islam sebagai kepentingan dan agenda utama hidup suami kalian bahkan hidup diri kalian sendiri. Ingatlah akan pengorbanan Saidatina Khadijah dalam membantu perjuangan Rasulullah dan menjadi peneman suka duka baginda sehingga tiada gantinya lagi.

Selain itu, sudah menjadi tanggungjawab kalian untuk memberi motivasi kepada para isteri mujahidin yang lain supaya mereka tidak tergugat dengan dugaan dan tidak goyah dengan harta dunia.

Berjuang Sebagi Ibu

Ini merupakan ‘stage’ terpenting kerana diibaratkan tangan ibu itu bisa menggoncang dunia. Dari rahim yang lembut itu, lahir Rasulullah s.a.w. yang tercinta. Dari rahim yang lembut itu lahir pejuang-pejuang Islam seperti Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayyubi dan Imam Hasan Al-Banna. Juga dari rahim yang lembut tetapi utuh itu lahir para ulama’ dan tokoh-tokoh agama yang ulung seperti Imam Malik, Imam As-Syafe’i dan Imam Bukhari.

Jika menyusur sirah para nabi, kebanyakannya ibu mereka adalah terdiri daripada wanita yang solehah seperti Maryam ibu Nabi Isa, Ibu Nabi Musa, Siti Hajar ibu nabi Ismail dan ibu nabi Sulaiman. Begitu juga dengan ibu para ulama’ seperti ibu Imam Bukhari yang tidak jemu-jemu mendoakan dan menjaga anaknya yang buta sehingga menjadi celik semula seterusnya menjadi ulama’ Hadith yang ulung.

Maka di sini, dapat diambil contoh tauladan oleh para mujahidah dalam melahirkan dan mendidik generasi yang akan menjadi pewaris ulama’ dan jundullah. Sebagai ibu, hendaklah berusaha membentuk anak-anak menjadi generasi al-Quran serta menjadikan sunnah Rasul ikutan hidup mereka.

Berjuang Sebagai Ahli Harakah Islamiyah

Mutakhir ini, para muslimah telah diberi peranan penting dalam gerakan Islam sehingga ditubuhkan tanzim khas untuk muslimat seperti Dewan Muslimat dan Unit Helwi.

Muslimin dan muslimat bekerja bersama-sama saling bantu membantu dalam batas syara’ untuk gerak kerja jamaah. Bahkan, terdapat jamaah yang majoritinya adalah muslimat dan yang menggiatkannya adalah kaum hawa ini. Walaupun muslimat tidak mempunyai taklifan syara’ untuk bergiat dalam harakah Islamiyyah, namun memandangkan senario semasa kini di mana kaum Hawa lebih ramai dari kaum Adam memerlukan muslimat untuk turun bersama para muslimin.

Muslimat pada zaman Rasulullah turut turun ke medan perang untuk membantu para muslimin dari belakang seperti mengubati para tentera yang cedera. Malah terdapat para muslimat yang turut masuk ke medan tempur seperti Nusaibah dan Khaulah Al-Azwar.Ketika hijrah Rasulullah SAW, Asma' Abu Bakar turut terlibat dengan membawakan makanan kepada ayahandanya dan juga Rasulullah di Gua Hira.

Bahkan, dengan keterlibatan muslimat dalam gerak kerja Islam dapat menangkis tuduhan-tuduhan yang mengatakan Islam itu mengongkong kaum wanita. Ia juga dapat membuka mata-mata mereka dengan kehebatan wanita muslim dalam perjuangan Islam.

Ingatlah sahabat-sahabat sekalian, bukanlah mudah untuk menjadi mujahidah sejati. Pelbagai rintangan yang perlu dilalui untuk bergelar mujahidah yang diiktiraf Allah. Jika Barat bangga dengan Joan of Ark, kita patut lebih berbangga lagi dengan mujahidah-mujahidah Islam seperti Sumaiyah dan Zainab Al-Ghazali.

Kepada yang masih solo, jangan dirisau akan jodohmu kerana mujahid yang sejati itu bukanlah tertarik pada rupa tetapi pada perjuanganmu fisabilillah.Rupa paras bukanlah ukuran nilai pada seorang muslimah tetapi iman dan keutuhan jiwa yang berada pada dirinya. Pernah terjadi di Iran di mana wanita-wanita Iran memilih kaum-kaum lelaki yang cedera dalam pertempuran sebagai suami. Malah kaum lelaki terdiri daripada orang-orang yang terpotong kaki dan tangannya akibat perang melawan musuh Allah. Kaum wanita itu mengiginkan lelaki yang bersih jiwanya dan telah teruji bahawa lelaki itu telah siap menyerahkan jiwa raganya untuk Allah yang mereka cintai.

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang diiktiraf Allah sebagai pejuang agamaNya.

* copied from www.baytulmuslim.blogspot.com

sama-sama kita ambil apa yang boleh dimanfaatkan dalam artikel di atas..
salam rejab, jom kita pulun amalan di bulan berkat ini! rejab adalah bulan Allah, syaaban bulan Nabi, ramadhan pula adalah bulan ummat Muhammad..

wassalam


Read more...

mawar agama

>> Tuesday, June 1, 2010

aku juga manusia biasa. yang mana iman seorang manusia itu bertambah dan juga berkurang. manusia juga sering lupa. sepertimana manusia atau insan yang berasal dari perkataan lupa dalam bahasa arabnya. setiap hari kita membaca doa al-ma'thurat seperti ini "ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami terlupa atau tersalah"

berjalan-jalan ke website www.iluvislam.com aku tertarik pada sebuah artikel ini, semoga sama-sama kita beroleh manfaatnya insyaAllah..


Petang tadi terlihat kepadaku sekuntum bunga. Kelopaknya indah warna warni kucuba mendekatinya tapi niatku terbantut tatkala melihat duri-duri tajam di batangnya pasti duri-duri itu akan melukai jemariku.

Aku cuba mencium baunya tetapi amat payah lantaran sukar memegangnya aku mengeluh sendiri mencari bunga cantik yang bisa kusentuh lalu kuterlihat kepada sekuntum bunga tidak jauh dariku.

Aku menghampiri bunga itu nampak cantik dari jauh kulihat batangnya, tiada berduri lalu kusentuh dan kucuba menciumnya tapi tak lama kemudian aku lepaskannya. Baunya cukup membuatkan aku loya lalu aku terdengar suara manusia lain dibelakangku; sepasang adam dan hawa sedang bermanjaan lagak mereka sungguh menjengkelkan. Aku mengumpat di dalam hati rasa marah bila hukum Tuhan tak diendahkan.

Tak lama kemudian si adam memarahi si hawa. Aku hanya melihat dari jauh seperti menonton drama di televisyen lalu si adam meninggalkan si hawa seorang diri membiarkan gadis manis itu menangis hiba sementara itu pula aku terpandang seorang hawa berpakaian serba sopan sederhana gayanya dia berjalan tidak jauh dariku.

Pakaiannya labuh tidak meransang nafsu. Alangkah senang hatiku melihatnya dia menundukkan pandangan. Adam di sisi langsung tidak menegur bukan kerana benci tetapi tanda hormat.

Aku tersenyum sendiri tiba-tiba aku teringatkan dua kuntum bunga yang baru tadi kulihat.

Aku mula bermonolog.. bunga yang berduri itu pasti susah didekati sang kumbang. Bunga yang busuk itu pasti sudah dihisap madunya oleh sang kumbang lalu kumbang itu meninggalkannya setelah puas madunya dihisap.

Aku melihat kembali ke arah dua hawa tadi lalu ku bingkas bangun.

Siapakah aku?

Aku tergolong dalam kelompok bunga yang mana?

Tiba-tiba aku menangis merenung sifat sendiri...

Ya Allah! jadikan aku bunga idaman para mujahid...Bunga idaman agama! Aku mahu kelopakku indah tanpa sedikitpun kotoran..Jadikan aku wanita solehah, wanita mukminah!

Moga diriku seperti Khadijah, Masyitah, Aisyah, Muthiah dan Ainul Mardiah! Aku ingin menjadi bunga idaman Islam.

* copy paste from www.iluvislam.com

sedikit yang mahu ku tambah, semua orang menginginkan pasangan yang soleh/solehah, tetapi sama-sama cek balik diri kita. adakah kita cukup soleh/solehah untuk mendapat pasangan sepertimana yang telah dijanjikan Allah dalam surah an-Nur tersebut?

jom solehkan diri masing-masing, dan selebihnya kita serahkan kembali kepadaNya..



Read more...

Followers

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP